F

Thursday, November 18, 2010

kuntum cempaka is kuntum cempaka

wahhhhhhhh....
sebab aku rasa sedey dengan kehadiran aidiladha 17 oktober 2010..
aku perbarui blog ni...
sedey raya haji tak balik kampung ,,padahal rindu giler kat mak aku...rindu giler nak makan daging korban!kat umah aku mesti banyak..kat kl ni takde dapat pun.kempunan pulak nanti..
sedey sebab aidiladha jugak..arwah ayah telah dijemput Allah 8 taun yang lepas..sudah lama!tapi jiwa nye tetap dalam jiwa aku..terkilan kerana die tak sempat merasai kejayaan yang kami adik beradik kecapi..
penat ! hari ni stuck kat jalan 2 jam lebih gara-gara hujan yang turun dengan lebatnya kat kl...

Wednesday, April 14, 2010

Suara Ibu

Sewaktu sinar sedang terpancar
Langkah kaki bagaikan goyah
Memutar kelukaan
Bukan harta kekayaan yang didambakan
Cuma erti sebuah kasihsayang
Yang tak pernah luak tercurah.


Tua yang semakin mencari kemana usangnya usia akan dibawa. Senja semakin mendekat pada sanubari, kian terkial-kial mencari hujung destinasi. Separuh abad menongkah gelombang dunia yang tiada pernah memberi dia ruang kemewahan. Namun setiap detik susah yang ditempuhi disimpan dalam jiwa yang hanya dia mengerti. Seringkali bibirnya tidak berhenti bergerak, merungut melempiaskan rasa tidak senang hingga termuntah segala kurang puas dalam hidup yang tidak pernah adil dirasakan padanya. Namun siapa tahu dalam hati yang tulus, dia sebenarnya sudah lama pasrah untuk melaksanakan segala tanggungjawab selunas mungkin. Pabila saat deraian air mata merembes laju, itu tanda dia sedang melawan kelemahan mengharungi segala jerih perit yang tidak ada tepiannya. Apapun yang terjadi, air mata harus dilenyapkan, lalu air mata yang mengalir disekat dengan basahan wuduk. Tuhan itu terlalu Agung, kesucian wuduk melenyapkan sisa jernih yang tumpah di pipi tercalit satu garisan tua. Setiap kali bersimpuh di muka pintu, hatinya membisik
“ Aku punya anak yang semakin meninggalkan aku. Siapakah antara anak-anaku yang akan menemani aku meniti usia emas ini? Siapakah yang akan memangku aku tika saat aku akan menghembuskan nafas terakhir? Keseorangankah aku waktu itu? Sendiriankah aku saat itu? Ya Allah, sesungguhnya aku merasa amat takut untuk menghadapi semua itu.”
Sekali lagi air matanya gugur, bukan kerana kehendak hatinya membiarkan air jernih membasahkan pipi yang sudah nampak cerla kedut itu tapi perasaan yang terasa memencil dan terpencil mengugurkan jiwanya hingga menolak rembesan cecair untuk terus mengalir hingga terlalu sukar untuk menghilang. Sehingga satu ketika dia teresak menekan dada menahan rasa sakit, tidak tertahan kerana sebak didada menyesakkan dada yang selalu semput nafas dirasakan.
“ Anak-anakku, mengertikah mereka akan kesusahan yang telah aku harungi untuk membesarkan mereka? Aku kecewa kerana tidak berjaya membesarkan mereka dengan kemewahan yang cukup, tidak mengadakan apa yang mereka mahukan dan tidak menyediakan mereka dengan makanan dan suapan yang enak dan lazat. Bagaimana harus aku berikan segala kemewahan pada anak-anakku sedangkan aku sendiri tidak pernah mengecapi bagaimanakah rasanya sebuah kemewahan! Aku amat bahagia anak-anakku, kerana mereka tidak pernah putus asa untuk menjadi seseorang yang berguna pada hari muka walaupun jauh dalam jiwa mereka ada rasa kecewa kerana terlahir dalam sebuah keluarga yang tidak punya apa-apa dan membesar dengan keadaan keluarga yang tidak rukun dan aman. Berdosakah aku kerana menjadikan mereka mangsa keadaan dalam kerumitan rumahtangga aku?
Anak-anakku,
Telah ku cuba pikul segala tanggungjawab supaya anak-anak yang aku kandung selama 9 bulan dan yang lahir dari rahimku tidak kebuluran, tidak merempat, tidak bertelanjang dan tidak mengemis! Teriknya mentari tidak pernah menghalang untuk aku bertungkus lumus mencari sesuap rezeki bagi isian perut anak-anakku. Biar wajahku terbakar dek mentari, anak-anak tidak akan terbiar perut kosong. Walaupun bukan dayaku untuk menorah kaki bukit, aku pegang kemas pedoman semangat mencari kekuatan mental dan fizikal kerana aku tahu disitu punca rezeki kami sekeluarga. Jika aku lemah, bermakna aku gagal dengan amanah Tuhan yang sedang terpikul dibahuku. Aku bukan gagal, aku punya semangat juang kerana aku seorang ibu yang punya anak-anak untuk dibesarkan. Aku tidak punya harta, kedudukan mahupun pendidikan, hanya peluh dan keringat nadi hidup aku. Itu bukan soalnya, biarlah anak-anakku terdidik penuh dengan ilmu dan pelajaran kerana mata ini tidak ingin lagi melihat anak-anakku comot. Kini aku mampu berbangga kerana anak-anakku sudah mampu berdikari, anak-anakku bukan lagi anak-anakku 40 tahun yang lepas. Biarlah hati ibu ini terusik sendirian, mengusik jiwa kerana terasa anak seakan melupakan. Kemanakah hati ibu ini akan aku bawa? Entah kemana akan tercampak jasad yang semakin melemah ini? Hari ini, aku masih mampu menguruskan diri sendiri namun esok lusa tiada siapa yang tahu? Terdetikkan dalam hati anak-anakku… ‘ Bagaimana akan diurus ibu tua ini nanti’. Susah untuk aku menerima hakikat yang sebenarnya nanti”.
Selesai monolog, air mata yang masih berbaki dikesat dengan tangan. Entah kenapa air mata sering menjadi penemannya yang terlalu akrab. Persekitaran rumah yang sudah using diperhatikan. Sudah lama rumah itu didiami, hanya sedikit perubahan yang ada namun baginya tiada apa yang berubah, ia tetap sama sepertimana anak pertamanya dilahirkan 40 tahun dulu. Semua rentetan pristiwa yang pernah terjadi dalam hidupnya menjadi kenangan..suka dan duka, madu dan racun..bercampur menjadi satu rasa yang berduri.
“ anak-anakku,Bukan kesenangan diri yang aku cari daripada perkahwinan yang pernah aku bina buat kali kedua. Aku Cuma mencari sedahan pepohon untuk bergantung. Aku sekadar mencari sekaki payung buat teduhan kala hujan. Tidak pernah aku sangka, payung yang aku ingin gunakan untuk memayung kita sekeluarga rupanya sebuah payung usang yang terobek sana sini. Kenapa aku terlalu buta semasa memilih payung itu? Keindahan luaran bukan beerti cantik dalam segalanya. Andai terlalu banyak kekurangan yang telah aku lakukan sepanjang membina jalan kebahagiaan buat kita sekeluarga, maafkan ibumu!kerana pernah alpa bahawa aku punya anak yang ku lahirkan dengan penuh kesakitan. Namun percayalah anak-anakku, kasih dan cinta pada kamu semua tidak pernah berubah. Adakah anak-anakku meredhai aku selama ini?”
Entah kali keberapa dia menyapu lagi airmata yang tumpah. Sekilas pandangannya jatuh kepada anak bongsunya yang sedang tidur lena. Sekali lagi perasaannya bagaikan terhiris.
“ Ya Tuhan! Bagaimanakah nasib anakku ini pada masa akan datang? Berjayakah dia didalam membentuk kehidupannya? Mampukah dia berdikari tanpa aku disisi nanti? Bolehkan dia meneruskan hidup tanpa perlukan bantuan sesiapa? Adakah anak-anakku
yang lain akan menjaganya dengan baik sepertimana aku menjaganya dengan penuh kasih sayang. Aku pasti kasih yang aku berikan tidak akan pernah sama dengan kasih sayang orang lain yang tercurah padanya. Ya Allah, hanya Engkau yang mengerti kegusaran dalam lubuk hati aku ini. Tuhan, sesungguhnya aku hanya mampu berserah! Dan aku tidak mampu untuk menafsir sejauhmana masa depan anakku yang telah Kau tetapkan Ya Tuhan. Sebagai seorang ibu, aku hanya mampu berdoa supaya anak-anakku sentiasa berada dibawah lindunganMu.”
Dia tidak mahu menitiskan airmata tapi airmata itu terlalu setia untuk menjadi peneman. Mungkin cecair jernih itu terlalu murah untuk ditumpahkan, tanpa wang ringgit! Cuma perlukan gurisan hati yang luka, pasti titisan bak mutiara itu akan jatuh, mengalir membawa satu alur aliran yang akhirnya berpecah kehilangan arah.
“ Duhai anak-anakku, jika berkali-kali aku merungut ketidakpuasan..itu adalah saat aku ingin menguji bagaimana kamu semua membaca sebuah pengorbanan yang pernah ibumu lakukan? Jika sekali bibirku mengucapkan kata, bukan ertinya aku mengungkit keikhlasan lunasan tanggungjawab yang aku lakukan tapi..ingin membaca bagaimana kamu berusaha mengembirakan hati ibumu? Tidakkah kamu tahu? Kamu hanya mempunyai seorang ibu? andai Tuhan menjemputku seawall mungkin, usah kamu menangisi sesalan kerana aku hanya mampu berdoa dari kejauhan. Dan aku pasti kamu mengerti tiada seorang ibu yang ingin melihat anak-anaknya menderita!
Senja semakin berarak memancarkan segaris sinarana yang cukup indah, dada langit memerah. Itu bukti keAgungan ALLAH. Pintu utama rumah ditutup, dia mengejutkan anak gadisnya yang sedang tidur dengan suara perlahan, tidak mahu anak itu bangun dengan rasa terkejut dan terpinga-pinga. Seruan azan memanggil-manggil dia supaya bergegas ke surau yang berdekatan dengan rumahnya. Hari yang bersilih ganti tiada beza baginya,…dalam benaknya sentiasa berputar ibarat masa yang terus mengejar tanpa sudi untuk menoleh kebelakang lagi. Dan setiap kali itulah, fikirannya sentiasa bertempik sorak, mencari keabdian hakikat.
“ Anak-anakku tidak pernah tahuu dan mengerti bahawa terukir satu parut calar dan satu garisan duka dalam hati aku. Kenapa mereka tidak pernah mahu mengerti? Pernahkah wujud rasa dendam dalam jiwa mereka kerana aku tidak berjaya untuk membesarkan mereka dengan sebuah kemewahan? Perlukan seorang anak membuat ibunya terluka setelah ibu bertahun menanggung derita untuk memberi anak kehidupan? Apakah peranan seorang anak terhadap ibu mereka? Wajarkah hati seorang ibu itu dilukai?”
Dia terlelap dengan sisa air mata yang kering sendiri di pelipis matanya, dan dengan saratan persoalan yang berlegar dalam kepala yang kian tertutup dengan rambut halus bercatkan putih bersih! Tercari kepastian yang hakiki namun persoalan itu tidak pernah terjawab dan ia sering menganggu hati tuanya. Tiada apa lagi yang hendak dikejarkan dalam dunia yang semakin menjauh. Dia hanya mencari satu destinasi keabdian yang abadi buat bekalan menghadap Yang Maha Esa, mengharap anak-anak akan memimpin tangannya sehingga jasad tiada lagi bernyawa!

p/s : Aku bukan seorang ibu tetapi aku cuba untuk menyelami apa kata hati seorang ibu!